Beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan lebih ramai Usahawan MLM yang menggunakan platform media sosial seperti Facebook Live bagi menghoskan demonstrasi produk, webinar dan perbentangan. Ia juga menjadi tren yang kian berkembang di mana syarikat dari pelbagai industri, termasuk MLM, menggunakan penstriman langsung sebagai platform pemasaran produk-produk mereka.
Mengapa memilih Penstriman Langsung?
Penstriman Langsung adalah cara hebat untuk mempertingkatkan penjenamaan peribadi anda. Ia adalah cara berinteraksi dengan khalayak anda secara lebih efektif, sambil menarik perhatian mereka. Khalayak anda terdiri daripada Upline, Downline, mahupun pelanggan, prospek atau suspek anda. Melalui penstriman langsung, para penonton berupaya untuk terlibat secara peribadi dan merasai pengalaman interaktif. Mereka berpeluang untuk melihat produk yang anda jual dan mendengar mengenainya secara langsung ketika anda mengulas mengenainya. Platform ini juga boleh digunakan bagi pelancaran produk baru kerana ia adalah cara terbaik untuk mendapatkan reaksi pantas daripada penonton agar produk baru anda terus tular.
Bagaimana untuk anda bermula?
Tidak perlu disangkal lagi, sebarang penyiaran secara langsung mempunyai cabarannya yang tersendiri. Kadangkala penstriman langsung agak menakutkan dan memerlukan keberanian serta kesabaran. Jika anda mengharapkan maklum balas berkualiti maka anda perlu merancang dengan teliti dan membuat persediaan bagi memastikan tiada gangguan sepanjang proses tersebut.
Rancang strim anda terlebih dahulu
Kata-kata kunci bagi kejayaan penstriman langsung bagi demo produk anda adalah Perancangan, Perancangan & Perancangan! Anda mungkin perlu menjalankan penyelidikan di internet mengenai produk-produk popular masa kini yang mirip produk anda, mencari keunikan produk anda berbanding lambakan jenama lain serta mencari topik-topik berkaitan yang mungkin menjana minat khalayak. Berkongsi kandungan yang asli atau eksklusif berbanding menjual secara langsung kepada khalayak anda juga adalah cara terbaik bagi mencipta keterlibatan khalayak dengan memupuk rasa percaya.
Perancangan meliputi seperti berikut:
Topik
Bagus sekiranyanya anda dapat menyediakan skrip mengenai topik dan kelengkapan bagi menolong anda mengendalikan strim langsung anda. Anda perlu mengkaji proposisi penjualan unik (USP) produk terutamanya bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada para pengguna atau pelanggan dari sudut pandangan khalayak. Pastikan anda arif mengenai topik tersebut agar anda berupaya untuk bercakap penuh keyakinan ketika strim berlangsung.
Persediaan
Pastikan persekitaran di mana anda menjalankan rakaman mempunyai pencahayaan yang bagus, tanpa gangguan bunyi. Periksa persekitaran anda dan pastikan ia bersih dan kemas kerana anda pasti tidak mahu memaparkan apa yang anda tidak ingin dilihat oleh khalayak anda. Pastikan juga sambungan internet anda adalah kuat kerana semestinya anda tidak mahu video yang terganggu.
Tarikh & masa
Adakah anda mempertimbangkan masa terbaik untuk mengendalikan strim langsung anda? Bilakah kemungkinannya khalayak anda akan 'online'? Misalannya, adakah khalayak anda lebih terlibat dengan kandungan anda sekiranya dijalankan semasa waktu perniagaan atau ketika mereka di rumah? Sebagai permulaan, mungkin anda perlu menjalankan penstriman langsung pada masa-masa berbeza dan bandingkan bilangan penonton. Dari situ, anda akan tahu bilakah masa terbaik untuk anda.
Promosikan acara langsung anda
Promosikan di keseluruhan platform media sosial di mana anda aktif. Mungkin anda perlu sampaikan kepada ahli rangkaian anda atau rakan-rakan dalam linkungan sosial anda mengenai sesi penstriman langsung anda melalui emel, Facebook atau WhatsApp bagi menambahkan lagi capaian. Anda juga perlu menggalakkan rakan-rakan sekerja dan rakan taulan untuk sama-sama mempromosikan sesi anda di media sosial mereka.
Latihan menghasilkan kesempurnaan
Lebih kerap dilakukan, bertambah baik kemahiran anda, sepertimana ribuan para penstrim langsung di luar sana. Sentiasa beringat bahawa betapa hebat perancangan dilakukan, namun menguji dan menjangkakan senario yang mungkin berlaku adalah tidak kurang pentingnya. Sebelum bersiaran, anda bolehlah melakukan video latihan, tonton semula lagi dan lagi bagi melihat di mana mungkin berlaku kesilapan agar anda boleh memperbaiki cara persembahan anda. Di penetapan peribadi, pilih 'Only Me' bagi mengelak video anda dikongsi kepada umum.
Jadilah yang terbaik yang anda mampu
Biarkan khalayak anda melihat anda yang sebenar. Bina hubungan melalui penampilan atau gaya persembahan anda bagi meningkatkan kehadiran 'online' anda. Dandan diri anda dengan sedikit solekan (setidak-tidaknya oleskan secalit gincu) agar lebih sedap dipandang di hadapan kamera.
Lebih baik sekiranya anda mengenakan pakaian satu warna sahaja – tidak terlalu berwarna-warni, berbelang-belang atau berpetak-petak! Jika anda menggunakan layar hijau, jangan pula mengenakan pakaian hijau, atau kelak anda akan tampil lutsinar. Belajarlah untuk menekankan percakapan anda dengan ekspresi wajah dan gerak tubuh yang bersesuaian.
Jangan mengabaikan khalayak
Penstriman Langsung adalah peluang terbaik untuk anda berinteraksi dengan khalayak anda. Membalas pertanyaan atau respon khalayak mewujudkan sebuah pengalaman yang lebih menarik. Meskipun anda tidak dapat menjawab setiap soalan, sekurang-kurangnya usaha anda untuk cuba menjawab memberikan mata bonus terhadap jenama anda.
Bergembiralah!
Ia adalah video pada masa nyata, maka kesilapan dan masalah tidak dapat dielakkan. Ia adalah peluang untuk anda berkongsi mengenai sesuatu yang diminati dan mengujakan anda. Oleh itu, janganlah tertekan, bergembira sahajalah!
“The only way to do great work is to love what you do. If you haven't found it, keep looking. Don't settle.”
~ Steve Jobs